Thursday, December 5, 2013

Nota Cinta Buat Sahabat



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Menemui sahabat-sahabatku yang sangat dicintai, semoga Allah melindungi kamu semua dengan rahmat dan kasih sayang-Nya.

Meniti arus perjuangan ini, aku seakan-akan terlalu diterpa kerinduan usrah Kajian kita yang lalu. Saat itu aku masih teringat, bahkan masih terasa-rasa kasih sayang yang disemai dan dibaja lillahi ta'ala, betapa membawa kesan yang amat mendalam dalam jiwa ragaku. Terima kasih kepada Kak Nik yang telah berjaya membawa kami ke jalan ini, dengan izin Allah Ta'ala.

Sahabat-sahabatku,

Percayalah.. Bukan ku tidak merindui kalian, bahkan jiwa ini seolah-olah meronta-ronta untuk bertemu kalian dan untuk terus berada dalam halaqah bersama kalian. Setiap kali ku baca kitab suci Al-Quran, ada sahaja ayat-ayatNya yang mengingatkan tentang kita dahulu. Subhanallah.. Aku berasa sungguh terharu dan bahagia kerana ingatanku pada kalian apabila aku membaca Al-Quran. Bermakna jika aku selalu membaca Al-Quran, pasti akan teringat kalian.

Dalam Al-Quran, pernah kita sentuh ayat ini..

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan diantara hati kamu (sehingga kamu bersatu- padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat pertunjuk hidayahNya.

Surah Ali Imran : 103

Sesungguhnya ketika itu perasaan kita sebagai saudara dalam halaqah semakin teguh dan seakan tidak mahu untuk berpisah. Bahkan benarlah dalam hadis disebut, orang Mukmin itu seperti satu jasad. Jika satu anggota disakiti, anggota lain akan turut terasa.

Dalam hidup ini, kita perlu sentiasa bersedia untuk berkorban. Sahabat-sahabatku, masih ingat lagikah kisah sahabat-sahabat Rasulullah sallallahu alaihi wasallam? Ketika Rasulullah S.A.W menyuruh mereka berhijrah, mereka berhijrah tanpa meninggalkan kecintaan kepada Rasulullah S.A.W meskipun mereka jauh dari Rasulullah S.A.W.

Masih ingat lagikah ketika Rasulullah S.A.W. bersama Abu Bakar As-Siddiq, sahabat baginda yang paling akrab dan setia, di dalam Gua Tsur dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Betapa cintanya As-Siddiq pada Rasulullah S.A.W. sehingga sanggup terluka untuk melindungi Rasulullah S.A.W.


Sahabat-sahabat yang kusayangi,

Allah telah menentukan jalan hidup kita dengan baik sekali. Saat kita berusrah bersama-sama dahulu, kita dapat menghayati keindahan berhalaqah. Maka sekarang aku merasakan kita perlu untuk sebarkan keindahannya pada insan-insan sekeliling kita yang masih mencari-cari jalan cinta Ilahi itu. Aku yakin, Allah sangat meredhai percintaan dan persaudaraan atas nama-Nya.

Janganlah disedihkan dan dikesalkan perpisahan kita yang sementara ini kerana Allah sudah menjanjikan pertemuan yang jelas dan kekal di jannah nanti. Hanya ingat satu titipan-Nya, jangan pernah berpaling dari-Nya. Selagi persahabatan kita terjalin kerana-Nya, selamanya takkan pernah pudar.

Sahabat-sahabat yang sangat kucintai,

Pertemuan dengan orang baru di sekeliling kita memberikan kita peluang untuk belajar lebih memahami orang lain dan banyakkan bersabar jika berlaku salah faham. Setiap orang tentunya tidak sama zahirnya, maka sikap juga berbeza. Kelebihannya jangan kita ambil kesempatan dan kelemahannya perlulah diterima dan jangan dijaja pada orang lain.

Di sini juga sahabat-sahabatku, aku menemui sahabat-sahabat yang mempunyai misi yang sama seperti kita dahulu, namun cuma belum bermula. Aku ingin sekali menambah ahli-ahli dalam taman-taman syurga dunia ini. Kuharap kalian juga begitu. Percayalah, inilah jalan yang dicintai Allah kerana Allah mencintai orang-orang Mukmin yang bersaudara dan saling mencintai kerana-Nya.

Oleh itu sahabat-sahabatku, terimalah nota cinta ikhlas dariku buat kalian. Bersama titisan air mata dari hati, aku sangat mencintai kalian kerana Allah. Jika ada antara kalian yang aku terlebih atau terkurang sebut namanya, maafkan aku kerana itulah antara kelemahanku. Apabila aku terlalu mencintai seorang sahabat, sahabat yang lain turut kucintai namun tak sebanyak dia. Hanya Allah yang tahu mengapa begitu. Hakikatnya, manusia takkan mampu adil walau berkali-kali dia cuba untuk adil kerana adil itu hanya milik Allah.

Sekian nota cinta buat kalian..

Kusudahi dengan assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..





No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...