Monday, April 15, 2013

Persahabatan kerana Allah

Sahabat sejati sukar dicari..

Ungkapan yang sering aku ulang-ulang dalam hatiku tatkala tiba di suatu persinggahan, lantas ingin mencari seorang pendamping yang bakal berkongsi susah dan senang. Sememangnya tidak mudah dan agak mustahil. Namun, dalam persahabatan tidak perlu mencari sebuah kesempurnaan. Cukuplah keikhlasan yang tetap setia dalam persahabatan yang ada.

Bagi aku, kawan tetap kawan. Namun, apabila aku mulai rapat dengan seseorang, aku akan menyayanginya sepenuh hatiku. Aku akan cuba untuk bahagiakan dia. Aku sangat sayangkan sahabat dan persahabatan. Sungguh aku tak rela persahabatan yang terbina walaupun hanya sekadar beberapa ketika terlerai begitu sahaja.

Namun, bukan bermakna aku tidak menyayangi kawan-kawan yang lain. Aku pasti, setiap orang ada teman rapat atau lebih tepatnya disebut sahabat. Kadang-kadang dalam persahabatan, persamaan membuatkan kita serasi dengannya. Namun, kekurangan yang ada pada kita tertampung dengan kelebihan yang ada padanya. Begitu juga dengan kekurangan yang ada padanya.

Aku lebih senang bersendiri daripada mengharap kasih orang. Aku memang inginkan seorang teman yang boleh aku bercerita tentang perkara yang tak mungkin aku ceritakan pada orang lain. Salahkah aku mencari seorang sahabat? Salahkah kiranya pada suatu ketika, aku terlalu teruja menyayanginya sehingga pada semua orang aku ingin ceritakan semua kebaikannya padaku? Salahkah begitu?

Kerana sebuah persahabatan, aku rela mengalah. Aku memang selalu mengalah tapi bukan bermakna aku kalah. Aku hanya ingin mencari ruang supaya hatiku dapat tenang dengan situasi ini. Aku memang tidak pandai mengambil hati orang, tidak tahu menjaga hati orang.. Tapi aku cuba untuk tidak menyakiti hati orang. Aku ingin menerima orang lain seadanya namun mengapa terkadang orang tidak boleh menerima kita seadanya? Aku buntu.

Mencari sebuah jawapan dalam ketidakpastian ini memang agak sukar. Namun haruskah aku berdepan dengan mereka dan bertanyakan semua soalan ini? Dalam hidup ini dan lebih tepatnya sepanjang aku hidup kini, tiada jawapan yang menepati kehendak soalanku. Kadang-kadang soalan itu dibalas dengan soalan pula ataupun dibiarkan senyap begitu sahaja. Lebih baik jangan bertanya dan diam sahaja.

Untuk mengharapkan orang lain suka kepada kita juga adalah suatu yang mustahil sebenarnya. Kalau terjadi pun, alhamdulillah. Allah mengkehendakinya begitu. Anggap sahaja semua orang suka pada kita, cuma yang paling tak mungkinnya ialah sayangnya orang pada kita. Husnu zhon itu lebih baik. Biarlah orang nak bersangka buruk dengan kita. Tapi kita tetap kena jadi muslim yang menjaga hati. Jaga prasangka supaya tidak berfikir bukan-bukan tentang orang lain.

Keegoan dalam diri kadang-kadang menghancurkan sebuah persahabatan. Selalunya orang yang ego tidak sedar dia ego sehinggalah orang lain mengatakannya ego. Ego bukan sombong tapi keras hati. Dalam sesetengah perkara, susah untuk mengaku kesalahan dan meminta maaf. Cara untuk lembut hati ialah kurangkanlah ego dan rendahkan sedikit hati untuk meminta maaf dengan orang. Allah pun Maha Pengampun dan suka pada orang-orang yang pemaaf. Bahkan , Nabi Muhammad s.a.w. juga contoh teladan yang baik dalam sifat pemaaf baginda.

Persahabatan memang sangat unik dan tak dijangka. Tiba-tiba kita dengan seseorang ini. Di masa yang lain pula kita dengan orang itu pula. Tapi, sampai bila-bila sahabat tetap di hati..

لَا يُؤْ مِنُ اَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِاَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

"Tidak sempurna iman seseorang sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri."
(HR. Bukhari-Muslim) 



No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...