Thursday, February 17, 2011

Salam Maulidur Rasul


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Kepenatan masih menjalar di setiap urat nadiku, nafasku masih mengah menahan rasa mengantuk yang semakin menghimpit perasaan. Ya Allah, penatnya hari ini. Namun ku tahu perjuangan kekasih-Mu lebih memenatkan dan lebih pedih daripada perjalanan hidup hamba-Mu ini.

Pada 12 Rabiul Awal Tahun Gajah, lahirlah seorang penghulu akhir zaman yang membawa wasilah kenabian yang terakhir, penutup bagi nabi-nabi dan rasul-rasul. Insan mulia yang diberi nama dua Ahmad lalu menjadi Muhammad dilahirkan oleh Siti Aminah tanpa sempat melihat wajah bapanya yang mulia, Abdullah Bin Abdul Mutalib.

Ketika ramai ibu susuan mencari bayi untuk disusukan di kampung mereka, Allah telah memilih Halimatus Sa'adiah untuk menjadi ibu susuan baginda. Asalnya keluarga yang serba sederhana ini akhirnya mencurah-curah rezeki mereka sejak kedatangan Muhammad S.A.W. di dalam keluarga mereka. Keberkatan semakin menyinari hidup ibu susuan yang ikhlas memelihara Muhammad S.A.W. .

Beberapa tahun selepas itu, bonda baginda yang tercinta pula meninggalkan baginda ketika dalam perjalanan menziarahi makam ayahanda baginda. Lalu dibawa baginda oleh Ummu Aiman ke pangkuan datuk baginda, Abdul Mutalib. Jadilah baginda cucu yang paling rapat dan disayangi datuk baginda.

Setelah beberapa lama dipelihara oleh Abdul Mutalib, akhirnya baginda diserahkan kepada Abu Talib setelah kewafatan datuk baginda. Muhammad S.A.W. digelar Al-Amin kerana menjadi orang yang sangat dipercayai dalam kalangan masyarakat Mekah pada waktu itu. Tambahan lagi, susur galur baginda daripada keturunan yang mulia menjadikan suku kaum baginda sebagai suku kaum Bani Hashim yang paling dihormati.

Ketika masih kecil, Allah telah menyucikan hati Muhammad S.A.W. dengan mengutuskan malaikat untuk membedah dada Muhammad S.A.W. dan membasuh hati baginda dengan sebaik-baik air iaitu air zam-zam. Akhlak baginda sangat terpuji dan sangat terjaga.

Menjadi insan yang dipercayai penduduk Mekah, diri baginda sudah dirisik oleh seorang janda yang kaya-raya dan berbudi pekerti yang tinggi untuk diamanahkan membawa barang-barang dagangan untuk dijual. Khadijah r.a. sangat terpesona dengan keperibadian Muhammad S.A.W. . Cerita tentang tanda-tanda kenabian yang sudah tampak pada diri Muhammad S.A.W. memberikan harapan yang tinggi untuk Khadijah r.a. untuk mendampingi baginda sebagai penyokong terkuat dalam menyampaikan dakwah baginda ketika itu.

Perkahwinan oleh dua susur galur yang bertemu pada moyang mereka, yakni keturunan yang mulia, menjamin kebahagiaan mereka dalam membina mahligai bahagia. Khadijah r.a. adalah seorang isteri yang tidak pernah dimadukan selama hidupnya dan sangat dikenangi baginda ketika wafatnya.

"Dia ada bersamaku ketika orang lain meminggirkanku. Dia yang mengikutiku ketika yang lain mengingkariku.."

Namun, panas tidak sampai ke petang rupanya. Allah menguji insan kamil ini dengan mengambil Khadijah r.a. dan bapa saudaranya, Abu Talib. Tahun ini dipanggil dengan tahun kesedihan kerana baginda diuji dengan kehilangan dua orang yang paling rapat dan paling banyak membantu baginda dalam tugas-tugas dakwah baginda.

Allah menggembirakan Rasul-Nya yang mulia ini dengan Israk Mikraj, perjalanan dari Baitullah al-Haram ke Baitul Maqdis di Masjidil Aqso, Palestin. Perjalanan selama satu malam pada mulanya tidak dipercayai oleh penduduk Mekah dan diperolok-olok oleh Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya. Namun, cerita benar daripada Nabi Muhammad Sallahu alaihi wasallam tentang ciri-ciri Masjidil Aqso serta keterangan yang tepat daripada kafilah yang baru sampai dari Masjidil Aqso juga menambah lagi bilangan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Kisah persahabatan antara baginda Nabi Muhammad S.A.W. dengan lelaki pertama memeluk Islam, Abu Bakar As-Siddiq yang sentiasa membenarkan perkataan baginda sungguh memberi tauladan yang baik dalam persahabatan. Ketika berhijrah dan sedang bersembunyi di Gua Thur, Abu Bakar sanggup menahan lubang ular dengan tumit kakinya untuk melindungi baginda Rasulullah S.A.W. . Manakala, kanak-kanak pertama memeluk Islam iaitu Ali Bin Abi Talib sanggup menggantikan tempat tidur baginda ketika baginda keluar berhijrah walaupun pada ketika itu Ali karamallahu wajhah mungkin sahaja dibunuh oleh musyrikin Mekah. Tetapi, alhamdulillah Allah menyelamatkan hamba-hambaNya yang membantu dalam perjalanan dakwah Nabi.

Begitulah serba sedikit saya cuba mengingati kembali profil junjungan besar tercinta, Nabi Muhammad S.A.W. , hebat dalam perniagaan, suami yang paling baik terhadap isteri-isteri baginda, sahabat yang paling setia, pemimpin yang paling adil dan kekasih Allah yang paling diredhai serta bakal menjadi syafaat kita di akhirat nanti.

Ya Allah, hatiku terdetik. Adakah aku ini bakal mendapat syafaat baginda atau tidak? Mungkinkah aku seorang yang mengamalkan sunnah dan Al-Quran serta mengamalkannya dalam kehidupan seharianku... Aku takut ya Allah..

Saat-saat akhir Nabi Muhammad S.A.W. hanya menyebut-nyebut, ummati... ummati.. ummati... Baginda tidak meninggalkan wasiat kepada ahli bait baginda tetapi kepada seluruh umat baginda, dengan wsiat yang paling teguh sehingga hari kiamat, Al-Quran dan sunnah. Baginda juga mahu memikul seluruh sakaratul maut umat baginda kerana kesakitan tersebut tidak ingin dirasai oleh umat baginda.

Cintanya Nabi Muhammad S.A.W. kepada kita, tetapi sejauh mana cinta kita terhadap baginda Nabi Muhammad S.A.W. .. Fikir-fikirkanlah..

No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...